Air Tangan Orang Yang Tidak Bersolat

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar, dan malahan lebih hina daripada khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa A.S.

Begini kisahnya...

Pada zaman Nabi Musa A.S, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga dan masih belum mempunyai zuriat lagi lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "Kalaulah aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam."

Hendak dijadikan cerita, dengan kehendak-Nya, isteri si lelaki tadi pun hamil dan selamat melahirkan anak. Bila sudah mendapat anak, lelaki ini pun runsinglah kerana dia sudah bernazar untuk minum air kencing anjing hitam dan dia mestilah menunaikannya.

Syariat pada zaman Nabi Musa A.S berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad S.A.W. Kalau syariat untuk umat Nabi Muhammad S.A.W, jika bernazar menggunakan benda yang haram, maka tidak perlu dibuat tetapi dikenakan denda (dam) atau sedekah. Tapi, kalau syariat di zaman Nabi Musa A.S, barangsiapa yang bernazar walaupun haram, mestilah melaksanakan jua nazar tersebut.

Lalu, si lelaki yang telah bernazar itu dengan susah hatinya pergilah menemui Nabi Musa A.S dan menceritakan apa yang telah terjadi ke atas dirinya. Lalu, Nabi Musa A.S menjawab bahawa lelaki itu tidak perlu untuk meminum air kencing anjing hitam, tetapi perlulah meminum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam sebagai ganti untuk nazar lelaki itu.

Nabi Musa memerintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan hendaklah meminum air tersebut. Lalu, lelaki itu pun dengan senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa A.S tadi.

Lihatlah...

Betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sehingga dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya adalah lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi.

Malah, ketika saat Rasulullah S.A.W nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan juga untuk umat Islam), "As-solah as-solah waamalakat aimanukum."

Maksudnya, "Solat, solat jangan sesekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu."

Jadi, sama-samalah kita memelihara solat kita dari segi zahir dan batinnya kerana amalan solatlah amalan yang mula-mula sekali akan ditimbang di Neraca Mizan kelak.

Comments

Popular posts from this blog

Anak Itu Kupu-Kupu Syurga

Fadilat ayat terakhir surah al-Hasyr

6 perkara Allah sembunyikan